Pertemuan dengan sebuah jawapan.. (Part 2)

Di bawah batu nisan kini, telah kau sandarkan kasih sayang kamu, begitu dalam, sungguh ku tak sanggup melepaskanmu kerna ku sangat cinta~~ (Saat Terakhir- ST12)
Abaikan lagu di atas berbalik kepada cerita semalam..Sebaik Nur keluar dari ruang menunggu, kawan Nur terus telefon Nur untuk bertanyakan khabar,, walaupun dia tengah sibuk belajar di GIATMARA namun dia tetap mengambil berat akan Nur.. Di sini juga Nur nak ucapkan terima kasih setinggi-tinggi gunung Everest tapi,, tinggi lagi kot sayang Nur pada korang kepada,, Hafizah Zaki, Hajar Rostam, Fatihah Shabari, Alyia Aqwa, Syamimi Rahman, Atiqah Solehah, Azmina Alya, serta rakan2 di insta yang tak putus2 memberi dorongan serta kekuatan kepada Nur dan family. Kembali semula, sebaik dia call Nur, Nur hanya mampu menangis seketika,, tak lah lama, tak lah teruk sebab waktu itu masih lagi positive mind.. Lebih kurang 5 minit je kami berhubung sebabkan dia juga ada kelas kulinari memandangkan hari itu merupakan hari permulaan sekolah pada setiap minggu. Selesai meredakan diri, Nur kembali semula ke ruang menunggu tapi hampa kerana papa Nur tiada di sana.. Nur cuba menjenguk-jenguk bilik CCU dengan harapan papa Nur ada di dalam,, malangnya Nur bukan nampak apa2 pun.. =,=" Sudahnya Nur membalas mesej whatsapp arwah sahaja sementara tunggu papa Nur yang hilang.. Tak sampai 3 minit Nur membalas whatsapp, Nur dikejutkan oleh seorang jururawat lelaki untuk masuk ke dalam. Melihat dari mukanya, seperti tiada apa2 yang berlaku.. Profesional laa katekan.. -,- Melangkah masuk dengan harapan yang arwah baik2 saja dan tidak terdetik sebarang prasangka apa2 pun mengenai kematian dan sebagainya.. 

Sewaktu Nur berdiri di muka pintu, Nur terlihat sekujur tubuh terbaring lesu di atas katil hospital.. Keadaan nya tetap sama seperti semalam cuma terasa ada yang aneh.. Mesin di sebelahnya asyik berbunyi-bunyi meminta di tengokkan. Nur memandang sekilas mesin tersebut, 0 tertera di mesin itu.. Kesemua yang berada di mesin itu terpapar angka kosong.. Di dalam fikiran Nur terdapat 1001 persoalan tapi Nur cuba abaikan.. Nur terdengar suara doktor yang sedang berbual dengan papa Nur. Nur hanya menatap kosong kedua insan yang leka berbual. Nur memegang erat telefon yang berada dalam pegangan tangan. Seusainya berbual dengan papa Nur, doktor tersebut meminta diri. Papa Nur dengan segera memanggil Nur dengan isyarat tangan..Nur mendekati dengan perlahan-lahan. "Apa yang jadi? Mesin tu rosak ke?" persoalan pertama yang ingin Nur tanyakan pada papa Nur tapi dihalang oleh pernyataan papa Nur. "Meh sini kakak, mama daa takde.. Mama daa tinggalkan kita pukul 10.15 pagi tadi.." kata papa dengan tenang. Nur lantas memandang arwah, muka arwah seakan sedang tidur seperti semalam. Air mata Nur mula jatuh bercucuran, lalu Nur peluk arwah dan mengusap mukanya. Begitu tenang arwah pergi meninggalkan kami sekeluarga.

Agak lama Nur memeluk sambil menangis dalam diam.. Sukar untuk dipercaya yang arwah telah pon meninggalkan kami..Sukar dipercaya kerana wajahnya tidak seperti seseorang yang telah pergi malahan terlihat seperti arwah sedang tidur lena dalam keadaan tersenyum. Kedengaran suara papa Nur menjawab panggilan daripada saudara mara, mengatakan bahawa orang rumahnya telah pun pergi. Kesedihan ini berlanjutan sehinggalah beberapa orang nurse datang memberitau untuk mengemaskan jenazah. Pada saat itulah, Nur memaklumkan kepada laman sosial Nur dan juga arwah bahawa arwah telah meninggal dunia. Belum sampai beberapa minit, Nur mendapatkan panggilan dari sahabat Nur yang berada di GIATMARA semula, dia lantas bertanyakan apakah Nur okay ataupun tidak.. Nur keluar dari ruang menunggu itu lalu menangis teresak-esak di tepi tangga hospital.. Kawan Nur ketika itu juga, menangis kerana turut merasai kehilangan arwah.. Selepas itu juga, Nur memutuskan panggilan kerana merasa tidak patut berbual lama dengannya yang sedang belajar pada ketika itu. Nur kembali semula ke ruang menunggu dan melihat, beberapa orang jiran yang tidak asing lagi. Terdapat juga kawan papa Nur, (tapi Nur tak ingat nama) dia datang kepada Nur lalu memeluk erat Nur sambil menangis. Bermula daripada itu lah, Nur tidak menangis di depan orang kerana Nur melihat papa Nur yang tabah. Jadinya, ramai yang datang memeluk Nur dan menyuruh Nur kuat dan tabah menghadapi dugaan ini, tapi Nur terus-terusan menunjukan muka yang tersenyum lebar tanpa ada ekspreksi sedih. Sampailah ibu (adik arwah) datang dengan membawa maklang (adik kedua bongsu arwah), pakcu (adik bongsu arwah) dan juga tokwan (mak arwah).. Mereka memeluk Nur lalu masuk ke dalam untuk menyedekahkan bacaan Yasin. Pada waktu ini, pelawat dibenarkan masuk beramai-ramai untuk menyampaikan salam terakhir kepada arwah.

Oh ye, selepas rakan Nur menelefon.. Nur menghubungi ustazah Nur yang merupakan ustazah kepada Danial (Adik kedua bongsu). Nur memaklumkan kepada ustazah lalu meminta ustazah menengok-nengokkan Danial. Tak lama selepas itu juga, Nur dimaklumkan bahawa adik-beradik Nur sedang dijemput dan dalam perjalanan ke hospital. Barisan memasuki CCU juga masih panjang seperti semalam walaupun dibenarkan masuk beramai-ramai. Makngah, makcu dan nenek (sebelah papa) juga tiba dan masuk ke dalam CCU bersama Nur. Saat itu, Nur melihat arwah sudah pun berbalut kain putih.. Pada saat itu, Nur melihat tokwan, ibu dan maklang sedang menahan esak di tepi katil arwah. Makngah dan nenek mula mengambil tempat untuk membaca Yasin. Makcu pula berdiri di sebelah Nur sambil bertanyakan cerita tentang arwah di hospital. Sewaktu sedang berborak, kami dihentikan oleh makngah yang memanggil makcu untuk menatap wajah arwah buat kali terakhir. Makcu mengatakan bahawa dia tidak kuat lagipula makcu baru keluar dari hospital buluh semalam nya. Nur pegang tangan makcu dan memimpinnya ke kepala arwah. Nur menatap wajah arwah lama, sebelum mengucup kedua belah pipinya. Sejuk terasa di pipinya umpama di mandikan dengan  ais sebentar tadi. Kemudian nya, Nur keluar untuk berjumpa saudara yang lain.
  Dek leka sangat berbual dengan saudara sambil menunggu kedatangan adik2, Nur terlepas untuk iringi arwah ke bilik mayat. Nasib Nur baik apabila makcu dan nenek menyedari Nur di luar koridor. Mereka terus membawa Nur ke bilik mayat yang terletak di hujung hospital tingkat paling bawah. Saat Nur tiba di depan bilik mayat, ramainya manusia yang sedang berdiri di luar.. Dan banyak juga yang tidak Nur kenali. Lelaki semuanya berdiri di luar, manakala yang wanita menunggu di dalam ruangan mayat tersebut. Sewaktu kaki Nur melangkah ke dalam bilik mayat, Nur terlihat adik2 Nur yang menangis hiba. Sangat sayu hingga membuatkan orang sekeliling mengalirkan air mata mereka. Nur sekilas memandang adik kedua Nur, Fatin.. Matanya agak bengkak sedikit dan masih berbaki air mata di pipinya yang putih itu. Manakala adik ketiga Nur, Danish menangis teruk sambil berkata "Nak mama.. nak mama", semua orang yang memujuknya ditolak ke tepi. Nur memandang adik Nur yang keempat, Danial sangat tenang.. Walaupun kelihatan dirinya seperti baru selepas menangis tapi dia tetap diam.. Tidak menangis dan langsung tidak bersuara dengan pertanyaan orang sekeliling.
Tiba2 Nur disuruh masuk untuk memandikan jenazah arwah, Nur menarik sekali adik kedua Nur memandangkan kami sahaja puteri arwah yang sudah besar. Nur sempat berpesan bahawa inilah kali terakhir kita mandikan arwah dan melihat arwah. Jadi peluklah erat2 dan tataplah serta ciumlah wajahnya selagi boleh pada masa ini. Selesai urusan memandikan dan mengkafankan, jenazah siap untuk disolatkan oleh Ustaz arwah yang mengajarkannya Talaqqi Al-Quran. Sebelum itu, ustazah yang memandikan arwah tadi, meminta sesiapa yang ingin mencium wajah arwah bolehlah berbuat demikian. Kami adik-beradik mencium wajah arwah terlebih dahulu. Pada saat ini juga, air mata Nur jatuh buat kali kedua kerana tidak dapat menatap wajah insan yang Nur cintai. Sukar bagiku untuk membendung kesedihan yang semakin lama semakin mencengkam jiwa ini. Adik Nur, Fatin memeluk erat diri Nur yang mula menangis.

Setelah itu, jenazah diusung ke van untuk dibawa ke Lanchang, tempat lahirnya arwah. Kami mengambil barangan yang tersisa di bilik menunggu lalu bergegas pulang ke rumah untuk pulang ke kampung. suasana di dalam kereta terasa begitu asing dengan kedudukan yang berlainan. Kesedihan begitu dirasai di dalam kereta sehingga perbualan kami sangat terbatas. Kami tiba agak lewat kerana bersiap agak lama, maklumlah baru sahaja kehilangan ibu. Fikiran agak serabut memikirkan pakaian adik2 dan barangan keperluan lain.

Lebih kurang pukul 4 lebih kami tiba di Masjid Kampung Tedong yang mana berhadapan dengan Tanah Perkuburan Islam Kampung Tedong. Sebaik tiba, kami merapati jenazah lalu membacakan surah Yassin untuk kali terakhir di depan jasadnya. Nur memeluk erat adik bongsu Nur, Adwa. Seterusnya jenazah di bawa ke tanah perkuburan dengan iringan dari pelajar maahad tahfiz serta keluarga arwah dan juga ayah Nur. Nur memimpin adik beradik Nur ke tanah perkuburan.

Adik bongsu Nur telah menyambut hari lahirnya pada 5 minggu 6 hari selepas arwah meninggal. (18.03.2018), yang mana pada sebelumnya Nur telah mengambil result SPM 15.03.2018. Alhamdulillah berkat doa arwah, Nur mendapat result biasa2 dengan tiada pangkat gred C dalam SPM. Pada 05.05.2018 yang lalu, Nur juga menerima anugerah dari SMA Nur atas pencapaian baik dalam SPM. Kebetulan hari lahir Nur jatuh pada tanggal yang sama, maka kami sekeluarga meraikan sambutan ulangtahun Nur yang ke-18. Masih terngiang-ngiang lagi di telinga Nur akan suara arwah yang sering menyambutnya awal dari orang lain. Serta Nur juga tidak menyangka bahawa kejutan pada hari lahir Nur tahun lepas merupakan tahun terakhir Nur merayakannya bersama arwah. Sangat berbekas di hati, kami mula merindui masakan arwah setiap kali perayaan ulang tahun kami serta pada hari raya.
Ketika orang itu ada, kita mengabaikannya. Apabila telah tiada, barulah tercari-cari. Hargailah permata yang tidak mungkin dapat diganti oleh sesiapa pun even korang cari dekat luar negara sekalipun. Ibu bapa lah harta yang paling berharga dalam hidup kita, tidak peduli rupa parasnya, IQ mereka, taraf kekayaan mereka dan berbagai aspek lainnya.. Mereka satu-satunya yang memberi keberkatan kepada setiap jalan yang kita tempuhi. Seperti firman Allah; Redha ibu bapa adalah redha Allah, maka murkanya ibu bapa adalah kemurkaan Allah jua.


Ditulis oleh: just_me0500

 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

FYI ; Mengenai saya?

Budaya K-Pop?!